KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menyerahkan cek bernilai RM22,000 sumbangan Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) kepada balu Allahyarham Mejar Yazmi Mohamed Yusof yang terkorban dalam nahas pesawat Hawk 108 di Terengganu, Khamis lepas.
Panglima Operasi Udara TUDM Leftenan Jeneral Datuk Seri Abdul Mutalib Ab Wahab yang mewakili Panglima TUDM berkata sumbangan khas berkenaan ialah daripada Angkatan Tentera Malaysia dan pihak kerajaan.
“Saya berharap sumbangan ini akan sedikit sebanyak membantu waris keluarga Allahyarham Mejar Yazmi dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Selain itu, akan ada lagi sumbangan lain secara berperingkat seperti pencen, insurans serta faedah-faedah yang disediakan kerajaan yang memakan masa dua sehingga tiga bulan,” katanya pada majlis penyerahan TAPPN di rumah keluarga Allahyarham Yazmi di Taman Titiwangsa di sini.
Abdul Mutalib berkata pembayaran TAPPN hanya dibuat kepada anggota benefisiari yang tercedera atau waris-waris anggota jika anggota terlibat telah meninggal dunia semasa menjalankan tugas operasi atau tugas aktif.
Tambahnya, kadar penuh bantuan saguhati TAPPN bagi kes kematian akibat tugas akan diberi sekali kepada balu atau duda anggota terbabit.
Dalam pada itu, balu Allahyarham Yazmi, Noor Shafora Izwa Mohd Helmi, 39, mengucapkan terima kasih kepada TUDM atas sumbangan TAPPN yang diberikan kepadanya.
“Sumbangan TAPPN yang diberi dapat membantu saya bersama enam anak pada sambutan Aidilfitiri nanti,” katanya.
Ditanya mengenai persiapan Aidilfitri tanpa kehadiran arwah suami di sisi, Noor Shafora Izwa berkata beliau akan menyambut lebaran bersama keluarganya di Kuala Lumpur.
Yazmi dan seorang lagi juruterbang, Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, terkorban apabila pesawat Hawk 108 yang dinaiki mereka dipercayai terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu pada Khamis lepas.
Dalam kejadian itu, pesawat berkenaan berlepas dari Pangkalan TUDM Kuantan pada pukul 11 pagi, sebelum dilaporkan terputus hubungan kira-kira setengah jam kemudian.
Jasad kedua-dua juruterbang itu ditemui pada 2.30 petang dalam jarak antara 20 meter antara satu sama lain, dengan payung terjun masing-masing yang menunjukkan mereka telah melepaskan diri daripada pesawat itu.
– BERNAMA