SOLAT adalah tiang agama dan identiti syiar umat Islam. Malah tidak dapat berdiri agama seseorang itu kecuali dengan istiqamah mengerjakan solat.
Nabi Muhammad SAW telah mengajar cara bersolat dengan sempurna, di mana setiap gerak-geri dan rukunnya telah ditentukan.
Pun begitu, kerap kita dengari amalan pelik yang masih dipraktikkan oleh segelintir umat Islam di Indonesia.
Baru-baru ini, tersebar beberapa rakaman video memaparkan Muslimah yang dilihat mengerjakan sembahyang bak ‘berjoget’ sehingga mencetuskan persoalan orang ramai.
Wanita-wanita itu dilihat menggangukkan kepala ke kiri dan kanan beberapa kali ketika sebelum sujud dan ketika selesai takbiratul ihram.
Menurut pengguna Facebook Ummi Mutiara, dia mendakwa perbuatan ‘joget’ ketika bersolat itu dikenal pasti hanya dilakukan oleh Muslimah di kawasan kediamannya.
“Semakin banyak saya jumpai individu yang bersolat seperti ini. Bagi sesiapa yang menjumpai mereka, sila tegur dan soal mereka sejak bila mereka memeluk Islam kerana cara mereka bersolat sangat menyimpang,” tulis Ummi.
Sementara itu, netizen di ruangan komen pula memberikan pelbagai pendapat di mana ada beranggapan Muslimah itu sesat dan tidak kurang juga yang mengatakan wanita itu ada kesukaran akibat berpenyakit. – MYNEWSHUB.CC