KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan laporan yang dihebahkan secara meluas oleh media-media propembangkang kononnya sebuah kontena mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi hilang di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor baru-baru ini.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Subromaniam Tholasy menjelaskan, kontena itu sebenarnya tidak hilang, tetapi telah sampai ke destinasi yang ditujui iaitu Pelabuhan Rotterdam di Belanda.
Beliau turut menjelaskan siasatan JKDM berhubung peralatan itu sebelum ini sebenarnya menjurus kepada prosedur operasi standard (SOP) dalaman ketika melepaskan dagangan yang memerlukan permit dibawah Akta Perdagangan Strategik (ISTA) 2010.
“JKDM menafikan kenyataan tersebut kerana kontena yang mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi yang dilaporkan hilang sebenarnya telah sampai ke destinasi yang ditujui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemimpin Pakatan Harapan hari ini dengan penuh ghairah mengecam dan memburuk-burukkan kerajaan Malaysia diatas dakwaan tersebut tanpa berfikir panjang sama ada laporan mengenai kehilangan radar tentera berteknologi tinggi itu benar atau sebaliknya.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail malah dalam nada berbaur politik membayangkan kononnya wujud elemen rasuah, persekongkolan dan menggesa siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau dalam usaha meraih merit politik buat pembangkang mendakwa kejadian itu merupakan kebolosan keselamatan negara yang amat serius dan mendakwa kononnya rakyat menuntut kerajaan Malaysia memberi penjelasan mengenai kehilangan peralatan tersebut.
“Peralatan radar ketenteraan bernilai berjuta-juta ringgit yang dalam perjalanan dari Australia ke Netherlands telah ditahan di Pelabuhan Tanjung Pelepas kerana ketiadaan permit dibawah Akta Perdagangan Strategik 2010 bulan lalu, tetapi didapati telah hilang dan dipercayai telah diseludup keluar dari negara ini.
“Insiden ini bukan sahaja melibatkan kehilangan peralatan ketenteraan yang kini mungkin telah dicuri atau diseludup keluar, tetapi juga menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan di salah sebuah pelabuhan terpenting di negara ini.
“Jika peralatan radar ketenteraan boleh dicuri atau diseludup dengan begitu mudah, apatah lagi penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia malah juga salah urus kargo atau konsainan bahan berbahaya,” kata Wan Azizah secara semborono dalam kenyataan yang dikeluarkan PKR.
Sementara Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong pula dalam nada berbaur provokasi menuntut satu siasatan dilakukan oleh badan bebas untuk menyiasat kehilangan peralatan radar tentera berteknologi tinggi itu yang didakwa telah memalukan negara.
Lebih teruk beliau menuduh Malaysia kini menjadi titik transit bagi penyeludupan senjata antarabangsa dan percaya radar tentera berteknologi tinggi itu telah sampai ke destinasi yang dibawa oleh pencurinya.
“Bagaimana pihak berkuasa Malaysia bertindak balas terhadap kecurian peralatan ketenteraan yang sensitif itu sangat penting untuk memulihkan keyakinan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa,” katanya. – MYNEWSHUB.CC