SHAH ALAM – Seorang wanita maut manakala suaminya cedera parah selepas motosikal yang mereka naiki hilang kawalan lalu merempuh sebuah rumah berhampiran tepi Jalan Taman Seri Setia, Tanjong Karang, semalam.
Mangsa yang dikenal pasti sebagai Nur Ayuni Mahassan, 27, berasal dari Chenor, Pahang meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ruslan Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.43 petang itu, penunggang motosikal dan pemboncengnya datang dari arah Tanjong Karang menuju ke bazar Ramadan di Jalan Bomba.
“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal tidak dapat mengawal motosikal dengan cermat lalu merempuh sebuah rumah yang berada berhampiran tepi jalan.
“Akibat kemalangan itu, pembonceng maut di tempat kejadian, manakala penunggang cedera parah di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan susulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ruslan berkata siasatan juga mendapati tiada sebarang kesan brek di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA