KOTA BHARU – Warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu sentiasa mengamalkan budaya kerja ikhlas dan berintegriti dalam melaksanakan tugas.
Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata budaya itu penting kerana masyarakat melihat dan menilai terhadap budaya kerja penjawat awam.
“Kita juga perlu menepati masa dalam melaksanakan tugas tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan khas dan iftar Ramadan bersama asnaf dan warga kementerian itu di Jabatan Penyiaran Kelantan di sini, malam ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan Azhar Ismail.
Sharifah Zarah berkata ketua jabatan harus tegas dalam memastikan kakitangan masing-masing melaksanakan budaya kerja ikhlas dan berintegriti.
Beliau juga meminta semua warga jabatan dan agensi kementerian berkenaan sentiasa bekerjasama dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat. – BERNAMA