KUANTAN – Bukan niat untuk menghina mereka, tetapi terdapat warga Rohingya yang dilihat mengambil kesempatan untuk memperoleh wang dengan menjaja penderitaan yang mereka alami di negara mereka.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Kuantan, Salihah Kamarudin berkata ada dalam kalangan mereka yang sanggup berlakon menjadi cacat demi meraih simpati daripada orang ramai dengan meminta sedekah.
“Kita telah beberapa kali memberi mereka amaran selain melakukan operasi membanters kegiatan mereka hasil aduan orang ramai dan pihak berkuasa tempatan.
“Bagaimanapun mereka tidak pernah serik kerana pendapatan mereka daripada meminta sedekah di negara ini mampu memecah RM1,000 sehari pada bulan Ramadan ini tanpa perlu bekerja keras,” katanya ketika ditemui pada operasi membanteras pengemis dan kutu rayau di 20 lokasi bazar Ramadan sekitar sini.
Menurutnya sepanjang bulan Ramadan setakat ini, pihaknya menahan lapan orang pengemis etnik Rohingya berusia lingkungan belasan tahun hingga 40-an termasuk golongan bayi.
Salihah berkata terdapat juga sindiket yang menggunakan pengemis untuk meminta sedekah.
“Apabila kita memberi sedekah kepada mereka, jumlah pengemis akan semakin ramai, sedangkan mereka sempurna dan mampu bekerja,” katanya. – BERNAMA