LUMUT – Peranan pakar dan pegawai perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat di Hospital Angkatan Tentera (HAT) dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit termasuk orang awam sangat dihargai.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata biarpun HAT merupakan pusat perubatan khusus dalam menjaga kebajikan anggota tentera, namun orang awam turut berpeluang menerima rawatan di hospital tersebut.
“Saya sendiri pernah meminta bantuan untuk orang awam mendapatkan rawatan ke dalam HAT dan ia begitu mudah dan mereka (kakitangan HAT) memberi ruang kepada orang awam.
“Bagi golongan yang tidak mampu, bayangkan mereka dalam keadaan begitu, tetapi HAT sedia membantu,” katanya ketika berucap ketika mengadakan lawatan di 96 HAT Lumut di sini, hari ini.
Terdahulu Zambry turut meluangkan masa menziarahi pesakit di Wad Pembedahan Lelaki dan Wad Hemodialisis sambil menyampaikan saguhati sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri kepada pesakit di kedua-dua wad berkenaan.
Zambry berkata biarpun golongan pakar dan pegawai perubatan ATM tidak berada di medan perang, tetapi semangat dan perkhidmatan mereka sebaris dengan anggota tentera yang lain.
“Lawatan saya ini adalah sebagai tanda penghargaan saya atas pengorbanan mereka dalam memberi perkhidmatan kepada negara supaya negara aman dan tenteram.
“Malah dekat sini (HAT) terdapat ramai pakar perubatan yang hebat dan pesakit begitu ramai skali, malah para jururawat turut memberi perkhidmatan yang begitu baik,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kehadiran Anggota Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ke Pejabat Menteri Besar Perak pada Rabu lalu, Zambry menjelaskan pertemuan tersebut berdasarkan hubungan menteri besar bersama wakil rakyat dan anggota parlimen.
Zambry berkata dalam pertemuan tersebut, beliau dan Ahmad Husni berbincang mengenai isu berkaitan hal ehwal rakyat khususnya di Perak.
“Itu hanya merupakan pertemuan biasa saya berjumpa dengan wakil rakyat dan ahli parlimen yang mahu berjumpa dengan saya bagi berbincang hal ehwal rakyat dan perkara yang memerlukan perhatian saya,” katanya.
Rabu lepas, dalam pertemuan selama lebih kurang 15 minit itu, Ahmad Husni bersama dua individu dilihat keluar dari bilik Setiausaha Sulit Menteri Besar selepas dipercayai bertemu Zambry.
– BERNAMA