PENGALAMAN beraya di Tanah Suci tahun lalu menggamit perasaan Zizan Razak untuk ke sana lagi untuk menyambut Aidilfitri tahun ini.
Zizan bakal berangkat pada 14 Jun ini sehingga 2 Syawal selain menganggap ia tempat yang baik dan sempurna untuk bercuti.
“Semenjak pertama kali ke Makkah saya sudah tiada perasaan untuk ke tempat lain kerana di sanalah tempat paling baik untuk bercuti.
“Selain meningkatkan ketakwaan dan keimanan dalam setiap ibadat dilakukan saya juga sentiasa berasa amat tenang apabila berada di Makkah dan akan gunakan setiap peluang beribadah dengan sebaik-baiknya,” kata Zizan ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan sidang media program Syawal TV3 dan TV9 yang diadakan pada Rabu.
Pada hari raya nanti, TV3 dan TV9 bakal menyajikan pelbagai program menarik termasuk telefilem, seleksi filem tempatan dan antarabangsa, talk show, hiburan dan program majalah.
Sementara itu, Zizan berkata, umrah kali ini dia berasa lebih bersedia oleh kerana keinginannya untuk mengenali diri serta memperbaiki kelemahan yang ada.
“Selain sentiasa berasa tenang di Makkah, semua jemaah adalah setaraf sehingga kita tak kenal siapa kaya atau miskin.
“Ia tempat yang baik untuk bercuti dan sekiranya mampu… pergilah! Ia banyak mengajar kita mengenal diri sendiri, tak fikir benda lain selain amalan dan bagaimana hendak lalui padang Mahsyar (apabila meninggal dunia) nanti,” katanya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Jula Juli Putus Cinta bersama Mira Filzah arahan Osman Ali. – MYNEWSHUB.CC