SINGAPURA – Seorang pekerja maut dan 10 yang lain cedera setelah struktur lebuh raya yang sedang dibina runtuh di Upper Changi Road East dalam satu insiden pelik awal Jumaat.
Menerusi kenyataan menerusi laman Twitter, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang kejadian yang melibatkan struktur yang runtuh di susur keluar lebuh raya ke arah Changi.
Ia melibatkan sebahagian Lebuh Raya Pan Island (PIE) menghala ke Tampines Expressway (TPE) sekitar 3.35 pagi. Kejadian ini nyata amat memalukan pelbagai pihak di republik itu kerana statusnya sebagai sebuah negara maju.
Media tempatan melaporkan SCDF kemudian mendedahkan pihaknya sedang melakukan operasi menyelamat di Upper Changi Road East, susur masuk ke PIE di Changi menerusi perkembangan terkini insiden tersebut, .
SCDF menyatakan sekitar 60 pegawai terlibat dalam operasi itu. Salah seorang daripada mereka yang cedera juga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala 10 yang lain dikejarkan ke Hospital Besar Changi.
Dua pekerja yang cedera menantikan giliran mereka bagi mendapatkan rawatan di Hospital Besar Changi. Pihaknya mendedahkan struktur yang terjejas itu adalah sebahagian daripada lebuh raya yang sedang dibina.
Ia turut melakukan operasi mencari dan menyelamat dengan bantuan beberapa anjing K9 SCDF. Setakat sehingga 6.45 pagi, operasi menyelamat sudahpun selesai dan semua pekerja di tapak binaan sudah diperhitungkan.
Singapura yang terkenal dengan tahap disiplin tinggi dan penguatkuasaan tegas undang-undang mempunyai 11 laluan lebuh raya dengan jarak keseluruhan sejauh 163 kilometer. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA