POKOK SENA – Sambutan Aidilfitri bagi 17 banduan Penjara Pokok Sena yang terpilih menjadi lebih bermakna dengan kehadiran anggota keluarga mereka di Majlis Jalinan Kasih Sempena Hari Ibu Bapa dan Aidilfitri di sini, hari ini.
Menurut seorang banduan yang mahu dikenali sebagai Sabri, 56 dari Kuala Kangsar, Perak, hari raya adalah hari yang sangat dinantikannya kerana hanya pada waktu itu sahaja dia dapat mendakap isteri dan anak tunggalnya selepas dihukum penjara 20 tahun atas kesalahan membunuh tanpa niat.
“Rasa rindu kepada mereka ini memang tak dapat digambarkan terutama hari raya. Walaupun sudah 15 tahun berada dalam penjara, rasa hiba dan sayu setiap kali mendengar takbir dan dikunjungi anak dan isteri sentiasa ada.
“Tambah-tambah lagi apabila mengenangkan saya tidak dapat bersama mereka ketika berpuasa dan menyambut hari raya,” katanya yang ditemui pemberita pada majlis tersebut.
Sementara itu, Ramli, 41, dari Sitiawan, Perak pula berkata terjerumus dalam penyalahgunaan dadah selepas terpengaruh dengan kawan-kawan akhirnya membawa dia ke tirai besi di situ sejak 2007.
Katanya dadah yang digunakan itu bukan saja menghumbannya ke dalam penjara tetapi turut memusnahkan masa depannya yang sebelum itu merupakan penjawat awam.
“Selepas didapati bersalah kerana memiliki dadah, saya dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Bagaimanapun pada 2015 lalu, saya mendapat pengampunan daripada Sultan Perak dan perlu menjalani hukuman penjara selama 20 tahun.
“Saya sangat bersyukur dan pengampunan itu seumpama saya mendapat nyawa kedua. Saya nekad untuk tidak melakukannya lagi. Walaupun saya rasa tertekan dengan kehidupan dalam penjara, sokongan daripada keluarga membuatkan saya bersemangat meneruskan kehidupan,” katanya yang pertama kali menyertai sambutan hari raya yang diadakan oleh pihak Penjara Pokok Sena.
Dalam pada itu, Timbalan Penguasa Penjara, Rosli Abd Razak berkata majlis bertujuan merapatkan hubungan penghuni di penjara dengan keluarga mereka.
Katanya peranan keluarga turut memainkan peranan utama dalam memulihkan kehidupan mereka selepas melakukan kesalahan pada masa lalu malah kedatangan keluarga di program berkenaan secara tidak langsung menunjukkan banduan di sini masih diterima oleh keluarga mereka.
“Jabatan Penjara juga mahu mengikis tanggapan masyarakat selama ini bahawa banduan yang masuk penjara hanya dikurung begitu sahaja tanpa mengetahui Jabatan Penjara juga berperanan mendidik mereka pulang ke pangkal jalan dengan memberi ilmu pengetahuan berasaskan agama,” katanya. – BERNAMA