BAGAN SERAI – Polis menahan dua lelaki serta merampas dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM15,000 di hadapan sebuah rumah di Kampung Sungai Pinang, Simpang Empat Semanggol, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata kedua-dua suspek berumur 30 tahun ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Balai Polis Semanggol pada pukul 6 pagi, hasil maklumat orang awam.
“Pemeriksaan terhadap suspek menjumpai satu beg berwarna hitam mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi heroin seberat 250.33 gram dan dua paket syabu (methamphetamine) seberat 12 gram selain beberapa peralatan menghisap dadah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Omar Bakhtiar berkata kedua-dua suspek adalah penagih tegar yang mana seorang suspek memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah manakala rakannya atas kesalahan dadah.
Beliau berkata dengan tertangkapnya dua lelaki itu, polis berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran heroin dan syabu di sekitar Selingsing dan Semanggol.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(1) akta yang sama. – BERNAMA