KUALA TERENGGANU – Seramai 22 nelayan asing diberkas ketika leka melakukan kegiatan menangkap ikan kira-kira 94 batu nautika dari Kuala Kemaman, semalam.
Pengarah Maritim Pengkalan Kemaman Leftenan Komander Mohd Rezal Kamal Bashah berkata ketika dikesan kira-kira 8.30 pagi bot nelayan Vietnam itu sedang menarik pukat.
“Hasil pemeriksaan kita dapati bot tersebut tidak memiliki sebarang dokumen atau permit sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia untuk menangkap ikan di perairan negara.
“Hasil pemeriksaan lanjut, kita turut menahan awak awak dan tekong yang berusia 16 hingga 43 tahun juga tidak mempuyai dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut merampas 800 kilogram (kg) ikan campur, 400 kg ikan baja, 100 kg sotong kering serta minyak diesel sebanyak 800 liter yang kesemuanya bernilai RM 700,000 termasuk bot dan peralatan.
Jelasnya bot tersebut dibawa masuk ke Pangkalan Maritim Kemaman dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.
Mohd Rezal Kamal berkata pihaknya akan terus memperkukuhkan kedaulatan perairan negara dengan mempergiatkan lagi rondaan secara berterusan membanteras bot nelayan asing ke perairan Malaysia.
Sementara itu, dalam tangkapan berasingan pihaknya turut menahan seorang tekong bersama 11 awak-awak yang dipercayai warga Vietnam ketika sedang melakukan kegiatan menangkap ikan kira-kira 54 batu nautika dari Kemaman, Isnin lalu.
Pengarah Maritim Wilayah Timur Laksamana Pertama Maritim Datuk Mamu Said Alee berkata, kesemua mereka yang berusia antara 18 dan 52 tahun diberkas sekitar 5.15 petang.
Pihaknya turut merampas kesemua hasil sotong yang dianggarkan 1,000 kg. – BERNAMA