PAMPLONA – Empat orang cedera tetapi tidak ada peserta yang ditanduk pada hari ketiga acara larian lembu Festival San Fermin di utara Sepanyol, semalam.
Jumlah itu berkurangan berbanding hari kedua kelmarin yang menyaksikan lima warga Amerika Syarikat, tiga rakyat Sepanyol dan dua pengunjung dari Perancis – semuanya lelaki – cedera.
Dalam kejadian kelmarin dua rakyat Amerika cedera ditanduk dengan seorang daripada mereka parah.
Video disiarkan menerusi televisyen menunjukkan seorang lelaki tersangkut pada tanduk lembu, diheret beberapa meter sebelum jatuh dan dipijak pada selekoh laluan sepanjang 800 meter itu.
Pesta San Fermin menarik ratusan ribu pelawat dari seluruh dunia setiap tahun
Pada hari pertama pesta berkenaan, empat orang cedera, tiga daripada mereka akibat ditanduk.
Lima belas orang terbunuh di pesta berkenaan sejak 1911 dengan yang terbaru pada 2009.
Tahun lalu, 87 orang cedera, 12 daripada mereka akibat ditanduk. – Agensi/myMetro Online