GUA MUSANG – Khidmat 6,000 anggota polis trafik berjaya memastikan kelancaran aliran trafik di semua laluan utama di seluruh negara, bagi membolehkan pengguna jalan raya selamat tiba ke destinasi masing-masing bagi meraikan hari lebaran bersama keluarga tercinta.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, SAC Syahrul Othman Mansur berkata anggota terbabit ditempatkan di semua lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kesesakan termasuk di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri dan perbandaran.
āDalam tempoh Operasi Selamat 11 Musim Perayaan sejak dilancarkan 18 Jun lalu, ia memberi kejayaan dalam mengatasi masalah kesesakan apabila beberapa langkah strategik diambil bagi tujuan berkenaan,ā katanya kepada pemberita selepas meninjau aliran trafik di sekatan jalan raya Kem Semor di sini, hari ini.
Syahrul Othman berkata pihaknya juga bekerjasama dengan pihak kerajaan tempatan dan majlis perbandaran di semua negeri bagi mengenal pasti kawasan kesesakan dan membuka laluan lencongan untuk kelancaran aliran trafik.
“Kejayaan kami mengatasi kesesakan musim perayaan kali ini hasil kerjasama semua pihak khususnya anggota trafik,” katanya.
Syahrul Othman berkata esok adalah hari kemuncak warga kota pulang semula ke tempat kerja dan dijangka pergerakan kenderaan terutama ke ibu negara akan bertambah.
Berikutan itu, penguatkuasaan terhadap kesalahan trafik tetap diteruskan dengan mengeluarkan saman segera kepada pengguna yang didapati melanggar peraturan lalu lintas.
“Kami memang memberi fokus utama kepada kelancaran aliran trafik supaya pengguna sampai ke destinasi dengan selamat, namun penguatkuasaan juga tetap dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata empat subtek diwujudkan bagi kelancaran aliran trafik seluruh negara yang di bahagikan kepada empat zon iaitu Zon Utara di Sungai Petani, Kedah, Zon Tengah di Bidor, Perak, Zon Selatan di Muar, Johor dan Zon Timur di Gua Musang di sini, yang berfungsi kepada cadangan dan mengumpulkan maklumat pergerakan trafik. – BERNAMA