PUTRAJAYA – Kira-kira 95.4 peratus jalan raya di empat lebuh raya Malaysia yang dinilai di bawah Program Penilaian Jalan Raya (iRAP) mendapat penarafan tiga bintang, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Sejumlah 2,370 kilometer (km) jalan di kedua-dua arah di empat lebuh raya ‘inter-urban’ di Semenanjung Malaysia iaitu Kuala Lumpur-Bukit Kayu Hitam (929.4 km), Kuala Lumpur-Johor Bahru (621.8 km), Kuala Lumpur-Kuantan (454.5 km) dan Kuantan-Terengganu (364.5 km) dinilai dengan menggunakan iRAP Star Rating Protocol Version 3 untuk laporan iRAP Malaysia yang pertama.
Beliau berkata penilaian awal mendapati hanya 52.4 peratus di lebuh raya itu mendapat penarafan tiga bintang, namun, selepas enam bulan penambahbaikan seperti pemasangan penghadang di lokasi berisiko kemalangan, ia meningkat kepada 95.4 peratus.
“Laporan iRAP Malaysia yang pertama ini menunjukkan hasil positif penambahbaikan yang dijalankan dengan usaha sama merentasi pelbagai sektor.
“Ini merupakan petanda bahawa negara sedang berkembang secara baik dalam mencapai 75 peratus perjalanan di jalan 3 bintang ke atas pada 2020,” katanya dalam sidang media sempena sambutan 10 tahun Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) dan pelancaran Laporan iRAP Malaysia 2017 di sini, hari ini.
Liow berkata Miros akan memperluas penilaian iRAP itu di lebuh raya bandar, jalan persekutuan dan jalan negeri termasuk di Sabah dan Sarawak yang sejauh lebih 4,000 km, bermula tahun ini.
Beliau berkata penilaian iRAP di Sarawak dijangka dilakukan pada Ogos ini dan di Sabah pada tahun depan.
“Penilaian dan penarafan bintang bagi lebuh raya dan jalan persekutuan serta negeri yang menepati piawaian dan aspek keselamatan akan mengurangkan kadar kemalangan dalam negara dan menyelamatkan nyawa,” katanya.
Menurutnya dengan adanya laporan iRAP, pihak berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya, pengusaha lebuh raya dan jalan raya boleh menambah baik jalan demi keselamatan pengguna manakala pengguna boleh membuat pemilihan jalan yang selamat untuk perjalanan yang lebih selesa.
Sementara itu, Liow menyambut baik fasa liberalisasi insurans motor kelas komprehensif dan pihak ketiga bagi kebakaran dan kecurian yang ditetapkan mengikut profil risiko pemilik kenderaan dan kenderaan itu sendiri.
“Inisiatif yang bermula pada 1 Julai ini adalah berdasarkan kepada penilaian penanggung insuran anda. Jika profil risiko anda adalah baik, anda akan menikmati premium yang lebih rendah. Ini merupakan penentuan harga premium yang lebih adil dan memanfaatkan pengguna.
“Inisiatif ini akan memupuk budaya mementingkan keselamatan di kalangan pengguna jalan raya dan sekaligus meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di Malaysia,” katanya.
Pada majlis itu, Liow turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Miros dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dengan PIAM akan menggunakan hasil dapatan kajian Miros mengenai risiko di jalan raya dalam menentukan kadar premium insurans kenderaan yang perlu dibayar.
Sementara itu, Liow berkata Kementerian Pengangkutan memandang serius insiden dua penerbangan Malindo Air di New Delhi dan Dhaka yang tidak dibenarkan terbang pada minggu lepas.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara membuat pemeriksaan dan menghantar laporan kepada saya. Kita juga menunggu laporan dari Malindo Air. Yang pasti, keselamatan penumpang perlu diutamakan,” katanya. – BERNAMA