NAMA abangnya kembali ‘tercalar’ dengan kontroversi terbaharu melibatkan rumah tangganya, namun sebagai adik, penyanyi Aisyah Aziz mengambil pendekatan enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.
Menerusi postingnya di Instagram Story (IGs), Aisyah berkata, “Saya tahu ramai yang bertanya dan menginginkan kepastikan berhubung isu yang timbul, namun saya tidak mempunyai sebarang hak untuk membuat kenyataan masa ini.
“Jangan risau, pasti pelbagai persoalan yang timbul mengenai perkara ini akan terjawab apabila tiba masanya kelak,” kata penyanyi berusia 23 tahun itu.
Aisyah berkongsikan posting tersebut memandangkan dia turut terkena tempias berikutan insiden abangnya ‘ditangkap’ berdua-duaan dengan pelakon baharu Afifah Nasir, yang merupakan adik kepada Anzalna Nasir di sebuah pusat karaoke oleh isteri Aliff, Bella Astillah.
Dalam insiden yang berlaku Khamis lalu, Bella mengalami luka di bahagian hidung akibat bergelut dengan suaminya yang dipercayai ingin memadamkan gambar yang terdapat dalam telefon bimbit Bella.
Susulan insiden pergelutan itu, Bella membuat laporan polis dan pihak polis telah menahan Aliff di pada jam 2 pagi, Jumaat dan penyanyi itu telah dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Dang Wangi. Aliff telah dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.
Sementara itu, pelakon Anzalna Nasir turut menerima tempias apabila menerima kecaman daripada netizen susulan komen keterlaluannya yang dikatakan ditujukan kepada Bella.
Dalam komen itu, Anzalna menulis, “Kadang-kadang kita faham perempuan yang baru bersalin, lain sikit perangainya, bak kata orang meroyan. Tapi itu kata orang tua. Jangan salahkan saya. Semoga dapat selesaikannya dengan maju jaya.”
Berikutan kontroversi yang melibatkan adiknya, Instagram Anzalna telah diubah kepada mod private manakala Afifah telah memadam ruangan komen di setiap gambarnya. – MYNEWSHUB.CC