SEMPORNA – Pemimpin parti pembangkang hanya tahu memanipulasi isu yang dekat dengan rakyat serta menabur pelbagai janji untuk menjadi popular, kata Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Ramlee Marahaban.
Ramlee yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ramlee Marahaban berkata hakikatnya apa yang dijanjikan pembangkang sukar untuk direalisasikan serta di luar kemampuan mereka.
“Senang untuk berjanji tapi mengotakannya mustahil, jadi rakyat jangan terpengaruh dengan dakyah dan janji pembangkang yang manis-manis belaka tetapi tidak boleh direalisasikan,” kata Anggota Dewan Undangan Bugaya itu kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi Prauniversiti ke-7 SMK Bugaya di Dewan Masyarakat di sini, hari ini.
Beliau turut menyifatkan pembangkang sebagai ‘buta dan bisu’ kerana tidak nampak usaha kerajaan dalam membangunkan negeri serta negara.
“Kerajaan Barisan Nasional telah sediakan segala-galanya dan UMNO khususnya telah terbukti menunaikan segala bentuk dasar yamg diumumkan dan manifesto pilihan raya umum lepas,”katanya. – BERNAMA