BATU PAHAT – Ahli UMNO diminta supaya tidak terpedaya dengan analisis kajian pihak tertentu yang menyentuh potensi kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bagi melekakan jentera parti dan pengundi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata terdapat pihak dalam pembangkang yang melakukan kajian rambang menunjukkan seolah-olah UMNO dan BN masih boleh memerintah negara selepas PRU akan datang bagi menjatuhkan BN.
“Kita jangan terjebak dengan analisis kajian yang dilakukan sebab ada agenda tersembunyi supaya kita leka seolah-olah kita terus memerintah negara dan mereka berharap supaya (kita) tidak berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.
Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di sini hari ini.
Beliau mendedahkan terdapat kajian yang dibuat seorang pemimpin muda dalam pembangkang yang mana hasilnya seolah-olah menunjukkan kemenangan kepada BN yang boleh menyebabkan jentera parti leka.
​Beliau berkata sehubungan itu, seluruh jentera PRU harus mengkaji apa sebenarnya yang sedang dilakukan puak pembangkang yang sentiasa tidak senang dengan BN bagi mengukuhkan jentera parti.
“Mereka (pembangkang) ada kajian rambang menerusi telefon dan hasilnya didedahkan kepada orang ramai. Kita tahu kajian itu bukan untuk ketelusan tetapi hendak tunjuk seolah-olah UMNO dan BN masih boleh memerintah negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata calon BN yang bakal bertanding pada PRU14 akan datang perlu mempunyai ciri ‘winnable’ dan ‘likeable’ (calon disukai dan boleh menang) dan tidak semestinya dalam kalangan mereka yang terdiri daripada kepimpinan sesuatu bahagian.
Beliau berkata pendekatan pemilihan calon seumpama itu sudah terbukti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar (Perak) dan Sungai Besar (Selangor) serta PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu di Sarawak.
“Calon mesti disukai walaupun bukan terdiri daripada kepimpinan bahagian. Jadi, jika ada perwakilan bahagian disukai dan boleh menang, maka, jangan terkejut jika kita tidak pegang jawatan pun, kita akan dipilih,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, terdapat kajian oleh universiti mendapati faktor kemenangan sesuatu kerusi itu 85 peratus daripadanya disumbangkan oleh faktor calon manakala 15 peratus bakinya adalah disebabkan faktor lain.
Justeru, beliau menasihati pemimpin parti sama ada di peringkat Cawangan atau Bahagian supaya redha apabila tidak dipilih sekiranya mereka benar-benar sayangkan BN.
Mengenai jentera UMNO Bahagian Batu Pahat, Ahmad Zahid meminta mereka supaya bekerja keras memenangi hati pengundi dan menolak hasutan pembangkang khususnya pengundi atas pagar demi merampas semula kerusi Parlimen Batu Pahat yang dikuasai pembangkang.
Beliau berkata mengikut kajian yang dilakukan, terdapat sembilan peratus pengundi di Parlimen itu merupakan pengundi atas pagar manakala DUN Penggaram (1.5 peratus), DUN Senggarang (7.3 peratus) dan DUN Rengit (4.2 peratus).
Pada PRU ke-13 pada 2013, kerusi Parlimen Batu Pahat dimenangi oleh calon PKR, Datuk Mohd Idris Jusi dengan majoriti hanya 1,732 undi. – BERNAMA