KUALA LUMPUR – Pesawat AirAsia X yang dalam penerbangan ke sini terpaksa patah balik ke Brisbane, Australia sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Gold Coast lewat malam Isnin.
Ia dipercayai akibat kerosakan enjin selepas melanggar burung dalam insiden pelik kira-kira pukul 10.20 malam waktu tempatan (12.10 tengah malam Selasa waktu Malaysia), menurut laporan media.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, penerbangan D7 207 yang membawa 345 orang penumpang dan 14 anak kapal itu bagaimanapun selamat mendarat pada 11.33 malam waktu tempatan.
“Pesawat berkenaan berpatah balik selepas mengalami masalah enjin dipercayai disebabkan oleh burung yang masuk ke dalam enjin pesawat, malahan dua bangkai burung turut ditemui bergelimpangan di atas landasan.
“Kami mengikuti setiap garis panduan bagi memastikan keselamatan penumpang di mana buat masa ini setiap keperluan mereka sedang diuruskan oleh kakitangan kami,” katanya dalam satu kenyataan media.
Benyamin turut memuji tindakan pantas dan profesionalisme kru penerbangan dalam memastikan keselamatan penumpang sehingga pesawat berkenaan berjaya mendarat di Lapangan Terbang Brisbane.
“Pihak kami akan menyediakan penerbangan khas bagi membawa penumpang daripada pesawat D7207 dapat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur secepat mungkin,” kata beliau lagi.
Dalam pada itu, seorang penumpangnya, Eric Lim dipetik media mendakwa, enjin kanan pesawat tiba-tiba terhenti selepas kedengaran bunyi letupan sebanyak tiga kali. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA