KUALA LUMPUR – Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd berjaya menghalang tuntutan insurans palsu bernilai RM5.6 juta bagi tempoh 2014 dan 2016.
Malah, syarikat itu melaporkan purata sekurang-kurangnya enam kes penipuan insurans berkenaan setiap bulan bagi tempoh berkenaan.
Ketua Bahagian Tuntutannya, Jayapragash Amblavanar berkata penipuan insurans itu merupakan antara kebimbangan yang terus ketara di Malaysia.
“Kes satu angka itu mungkin tidak dianggap masalah besar kepada sesetengah pihak namun ia membuktikan bahawa penipuan insurans itu sememangnya berlaku di Malaysia.
“Sehubungan itu, komitmen kami bagi mengekang penipuan insurans ini adalah secara proaktif dan bersedia melaksanakan langkah-langkah diperlukan untuk mengawalnya sejak dari awal lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, usaha menghalang penipuan itu turut memberi kebebasan serta fleksibiliti kepada Allianz untuk menawarkan produk pada harga lebih baik kepada pelanggan selain mengukuhkan reputasi syarikat sebagai penanggung insurans yang boleh dipercayai untuk mengambil tindakan yang tepat. – BERNAMA