SHAH ALAM – Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta dalam satu kemalangan di Jalan Klang-Teluk Intan, Kuala Selangor, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Ruslan Abdullah berkata mangsa dikenali sebagai Konstabel percubaan Mohamad Azreen Anuar, 27, anggota tugas am di Balai Polis Kuala Selangor.
Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, kereta Honda Civic yang dipandu seorang lelaki tempatan dari arah Klang menghala ke Teluk Intan dipercayai gagal dikawal lalu merempuh motosikal mangsa dari arah belakang.
“Akibat rempuhan itu, kereta berkenaan kemudian terbabas ke bahu jalan dan melanggar pula dua lelaki yang sedang berjalan dari arah sama sebelum melanggar pokok. Ketika kejadian, cuaca baik dan permukaan jalan juga rata dan berturap.
“Mohamad Azreen yang cedera parah pada bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang pejalan kaki cedera di kaki dan seorang lagi selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata pemandu kereta berumur 34 tahun dari Sekinchan yang didapati melarikan diri selepas kemalangan itu ditahan beberapa jam kemudian dan hasil ujian air kencing mendapati lelaki berkenaan di bawah pengaruh pil ecstasy dan ditahan untuk membantu siasatan. – BERNAMA