PENGGUNAAN kasut sukan atau sneakers pada hari persandingan mungkin akan menjadi trend selepas ia digayakan pelakon Anis Al-Idrus dalam majlis resepsinya, baru-baru ini.
Menurut Anis, dia bukan sengaja tidak mahu memakai kasut tumit tinggi seperti mana yang sering digayakan raja sehari, sebaliknya dia lebih selesa menggayakan sneakers untuk hari bahagianya itu.
Malah, Anis menafikan cakap-cakap orang mendakwa dia sengaja ingin mencari perhatian dengan membuat kelainan seperti itu.
“Jadi untuk majlis ini, saya pilih sesuatu yang saya suka tambahan pula dapat bergerak dengan mudah memandangkan perlu menyapa tetamu.
“Tak cari perhatian pun orang viralkan kita, jadi tak kisahlah apa orang hendak kata.
“Mungkin itu hobi mereka gemar hendak menularkan kisah mengenai orang lain kerana hobi kita ni berbeza-beza,” ujarnya, lapor mStar Online.
Anis mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hati, Mohd Rafzan dan majlis pernikahan mereka disempurnakan di sebuah lokasi di TTDI Jaya, Shah Alam pada Jumaat lalu.
Pasangan mempelai dinikahkan bapa aktres itu, Syed Zainal Syed Abu Bakar Al-Idrus di hadapan Imam dan Jurunikah Masjid Al-I’tisam TTDI Jaya, Mohd Fairus Shuaib. – MYNEWSHUB.CC