SEKUMPULAN pemilik arnab gergasi bertindak menyaman United Airlines berikutan kematian haiwan bernama Simon itu semasa dalam penerbangan dari London, Britain ke Iowa, Amerika Syarikat (AS).
Mereka mendakwa, kakitangan syarikat penerbangan berkenaan bertanggungjawab atas kematian haiwan peliharaan tersebut yang dalam perjalanan menyertai satu pameran bagi mengutip dana bagi sebuah acara tahunan.
Saman berkenaan difailkan di Mahkamah Daerah Polk County, Des Moines, Iowa oleh sekumpulan tiga ahli perniagaan yang membeli baka arnab dari United Kingdom (UK) berkenaan.
Simon yang berusia 10 bulan itu dilaporkan memiliki ukuran badan sepanjang 1.04 meter dan ditemui mati pada 20 April lalu.
Baca: Arnab Gergasi Maut Dalam Kargo United Airlines
Menurut peguam pemilik haiwan itu, Simon diterbangkan dari UK ke Kansas City sebelum ditemui mati dalam kargo semasa penerbangan singgah di Chicago.
Kata peguam itu lagi, kemungkinan arnab gergasi itu mati selepas diletakkan dalam peti sejuk selama 16 jam semasa mendarat. Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan oleh United Airlines.
Plaintif mendakwa bahawa pekerja-pekerja syarikat itu segera membakar bangkai Simon tanpa kebenaran pemiliknya dan sebelum keputusan bedah siasat bagi menentukan kematiannya diperoleh.
“Keadaan dan sebab kematian Simon masih sangat curiga,” kata kumpulan itu dalam tuntutan 14 halamannya, yang menuduh syarikat penerbangan itu memiliki rekod buruk mengendalikan haiwan dalam penerbangannya.
Mereka menuntut pampasan yang tidak ditentukan jumlahnya. – Agensi/myMetro Online