GEOGRTOWN – Seorang lelaki berusia 38 tahun maut selepas terjun dari tingkat empat sebuah rumah pangsa di Bukit Mertajam, semalam.
Dalam kejadian 11.40 malam Sabtu itu, lelaki terbabit dikatakan sempat melambai kepada anak perempuannya berusia 15 tahun sebelum terjun dari bangunan berkenaan.
Polis berkata, mayatnya ditemui di tempat letak kereta rumah pangsa itu dan lelaki itu disyaki mempunyai masalah kewangan sebelum membunuh diri.
Lapor Berita Harian, mangsa, Mohd Irwan Omar telah berkahwin dan mempunyai tujuh anak berusia 2 hingga 17 tahun dan mereka bakal menimang seorang lagi cahaya mata.
Isterinya yang berusia 37 tahun berasal dari Kluang, Johor memberitahu polis, suaminya kebelakangan ini sering murung gara-gara berdepan kesukaran membayar sewa rumah dan perbelanjaan lain.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, pihak berkuasa baru-baru ini menghentikan pemberian wang zakat bulanan sebanyak RM300 kepada keluarga itu.
Difahamkan, mangsa membayar RM250 untuk rumah seluas 660 kaki persegi itu dan dia turut mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan enam daripada berkaitan dadah.
Katanya, Irwan dan keluarganya tinggal di Jawi, Nibong Tebal, sebelum berpindah ke Bukit Mertajam baru-baru ini.
Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat Irwan dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat. – MYNEWSHUB.CC
*Video di bawah sekadar hiasan…