BANGI – Asmawi Ani atau lebih popular dikenali sebagai Mawi, yang mencipta fenomena seni tanah air, bersyukur dengan ilmu tidak formal yang dipelajarinya sejak kecil di Felda Taib Andak, Kulai, Johor sehingga membolehkannya mengecapi kejayaan hari ini.
Anak muda yang menjuarai program realiti televisyen Akademi Fantasi 3 berdasarkan undian orang ramai pada 2005, berkata bimbingan dan tunjuk ajar arwah bapanya, Ani Ahmad, serta pengalaman yang diperoleh semasa menyertai Majlis Belia Felda Malaysia banyak mengajarnya untuk berjaya dalam setiap bidang yang diceburi.
“Arwah bapa saya, Ani Ahmad, selalu berpesan kepada saya, bila kita bersyukur, kita akan rasa cukup,” kata Mawi, 35, yang cukup sinonim dengan slogan “World” sewaktu menyertai pertandingan berkenaan.
Kejayaan manis Mawi menjuarai pertandingan itu mencetuskan gelombang ‘tsumawi’ dalam kalangan pengikut rancangan tersebut sehinggakan namanya meniti di bibir kanak-kanak dan warga tua selain imej ‘ustaz’ yang dibawanya membolehkan “Raja SMS” berkenaan menonjol berbanding peserta lain.
Kemunculan Mawi dalam dunia hiburan tanah air membawa satu cerita kejayaan bagaimana seorang anak Felda berjaya mencipta nama dengan sikap merendah diri dan juga bakat yang dimilikinya.
Dalam satu temu bual dengan Bernama sempena program Ekspresi Felda Negaraku Malaysia yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Julai ini, Mawi berkata beliau sentiasa teringat pesan bapanya yang sering menyuruh beliau mengutip buah kelapa sawit yang terlerai daripada tandan untuk dijual, kerana “ini semua duit”.
“Jadi, bila dah diterapkan dari kecil konsep bersyukur itu, segala apa yang saya dapat saya amat bersyukur, Alhamdulillah,” katanya.
Bertemakan ‘Bakti Disemai, Bukti Dituai’, program selama tiga hari sempena sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2017 itu akan diadakan di Dataran Persiaran Perdana, Presint 3, Putrajaya dari 21 hingga 23 Julai ini. Seramai 50,000 pengunjung dijangka memeriahkan program itu.
Menyingkap kembali zaman muda beliau di Felda Taib Andak, Mawi yang terkenal dengan lagu Kalah Dalam Menang bersama pengarah Syamsul Yusof, berkata bimbingan dan motivasi yang diperoleh semasa menyertai persatuan belia adalah satu pengalaman penting dalam hidupnya.
“Belia Felda ini ada bermacam jenis aktiviti termasuk kursus motivasi untuk pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah. Seingat saya, semasa saya berumur 12 tahun, saya pernah didenda dalam satu kursus motivasi yang berlangsung selama lima hari dengan ditinggalkan di tanah perkuburan pada pukul 1 pagi,” katanya.
Menyifatkan pengalaman itu suatu insiden paling tidak dapat dilupakan, Mawi yang pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Berita Harian selama tiga tahun berturut-turut bermula 2005, berkata ia menjadikan dirinya lebih berani menghadapi apa juga cabaran sehingga berjaya mencipta kejayaan hari ini.
Anak kelima daripada enam adik-beradik itu yang kini menetap di Bandar Baru Bangi di sini juga menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana dibesarkan sebagai anak Felda generasi kedua.
Menitipkan pesanan kepada generasi muda Felda supaya sentiasa bersyukur, berusaha sendiri selain mempunyai misi dan fokus dalam hidup, Mawi berkata: “Generasi baharu Felda harus pandai merebut peluang dan jangan cepat terpengaruh dengan cerita-cerita tidak elok mengenai Felda.”
Mawi yang berkahwin dengan Nora’ Asikin Rahmat atau Ekin, 37, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, berkata selain kariernya sebagai penyanyi dan pelakon, beliau menubuhkan sebuah syarikat produksi, Mawi World Entertainment.
Beliau dan isterinya turut membuka butik di Bandar Baru Bangi untuk menjana pendapatan. – BERNAMA