HARI Peneroka Felda 2017 kali ini turut menyaksikan pengunjung berpeluang untuk berkongsi idea unik mengenai suasana negara kita menjelang 2050 terutama keadaan skim tanah rancangan itu.
Ruang tersebut disediakan penganjur menerusi program Bicara TN50 secara eksklusif bersama-sama Pengerusi Felda sendiri, Tan Sri Shahrir Abdul Samad bertempat di Dewan Utama Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Sepanjang sesi bual bicara tersebut, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia, Muhammad Fadzli Hassan yang menjadi moderator nyata berjaya menarik minat audiens menyumbang fikiran mengenai impian mereka pada tahun 2050.
Acara yang bermula jam 10 pagi Sabtu jelas menyaksikan ramai bersemangat dan lebih unik kebanyakan hadirin ialah kalangan belia generasi ketiga peneroka yang ingin maklumat terkini berhubung hala tuju masa depan Felda.
Penonton menyuarakan pelbagai aspirasi antaranya mengenai permasalahan, cadangan serta harapan warga Felda yang semestinya mengimpikan kerjasama serta usaha pihak Felda bagi membantu mereka mencapai sasaran TN50.
Banyak topik menarik disentuh seperti isu pembangunan modal insan, peningkatan kesedaran kepentingan ilmu, kemajuan sukan, transformasi digital serta bakat-bakat seni yang ada dalam kolongan warga Felda sendiri.
Shahrir dalam pada itu menekankan supaya semua warga Felda untuk menyahut seruan beliau agar ‘balik ke asal’. yang bermaksud sentiasa beringat kepada nilai dan prinsip asas Felda sendiri ketika ditubuhkan lebih 60 tahun lalu.
“Kalau kita mahukan masa depan yang cerah, nilai dan prinsip serta pentadbiran dan urusniaga yang baik, kita tidak boleh ubah mahupun lari daripada prinsip integriti.
“Itu yang paling utama untuk mengekalkan masa depan yang baik,” kata Shahrir. Meskipun bicara itu diadakan dalam masa yang singkat, para hadirin telah menunjukkan rasa puas hati mereka.
Mereka yang ditemui turut menyambut baik penjelasan lengkap yang telah diberikan oleh moderator dan pihak Felda sendiri khususnya menjawab tohmahan pihak tidak bertanggungjawab. – MYNEWSHUB.CC / Ainaa Hafizah