SEGAMAT – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mahu semua pihak berkaitan termasuk jabatan pendidikan dan sekolah memperkasa langkah pencegahan bagi mengekang masalah disiplin di sekolah.
Mengakui kehilangan kata-kata selepas mendengar kejadian terkini melibatkan pelajar letak racun lipas di dalam makanan rakan yang didakwa pembuli, Mahdzir berkata gangsterisme adalah satu hakikat dalam masyarakat yang perlu dihadapi.
“Saya tak tahu hendak kata apa lagi, dia punya balas dendam sangat dahsyat dan kita pun mungkin berfikir tidak apa budak-budak belum akan sampai tahap macam itu.
“Tetapi, hari ini (budak-budak) punya mentaliti sudah lain. Kena gandakan usaha dan beri perhatian kepada mereka (yang dikenal pasti cenderung masalah disiplin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Baca: Gurauan Racun Lipas Di Dalam Mi Goreng Pelajar
Terdahulu Mahdzir yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sekijang yang turut dihadiri Ketua Bahagiannya, Datuk Dr. Baharum Mohammad.
Semalam akhbar melaporkan polis sedang menyiasat satu kes seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman, Sarawak dipercayai mencampurkan racun lipas ke dalam mi goreng seorang rakan yang dikatakan sering membulinya.
Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Mahdzir berkata kerajaan yang dipacu UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah berjaya membentuk sebuah dasar pendidikan negara yang merubah nasib rakyat di negara ini.
“Mak ayah tak sekolah (tapi) anak jadi doktor, ketua pengarah, peguam dan akauntan kerana dasar pendidikan negara. Siapa yang buat dasar ini tentu UMNO dan BN sejak dahulu lagi yang dasar ini menyatukan kita sebagai bangsa Malaysia … Ahmad, Ah Leong dan Mutu boleh duduk bersama minum kopi.
“Tetapi masalah bila datang kepentingan politik pembangkang racun pemikiran rakyat. Semua dibuat kerajaan salah demi kerana mereka mahu memerintah jadi kerajaan sedangkan kerajaan UMNO dan BN sekarang sudah lakukan segalanya demi rakyat,” katanya. – BERNAMA