IPOH – Pusat membeli-belah disaran agar memasang kamera litar tertutup (CCTV) di dalam lif selain menyediakan kemudahan interkom bagi mempertingkatkan langkah keselamatan.
Exco Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsuddin Abu Hassan berkata pengurusan premis juga boleh mempertimbang untuk meletakkan kakitangan tetap di setiap lif bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Beliau mengulas dua insiden pengunjung terperangkap dalam lif di sebuah pasar raya besar di Meru di sini yang berlaku dalam tempoh sebulan.
“Memandangkan telah dua kali kejadian mangsa terperangkap dalam lif, maka kita putuskan supaya pasar raya ini mengambil kira pendekatan itu secara serius,” katanya dalam sidang media selepas meninjau pengurusan keselamatan pengguna dan lif di sebuah pasar raya besar di sini, hari ini.
Sabtu lepas, seramai 10 pengunjung dilaporkan terperangkap selama 15 minit dalam lif di premis berkenaan, kira-kira sebulan selepas sepasang warga emas terperangkap lebih 26 jam dalam lif di pasar raya sama.
Beliau meminta pemilik premis melaksanakan penyelenggaraan secara berkala perlu bagi memastikan lif berfungsi dengan baik sekaligus mengelak sebarang insiden tidak diingini.
“Sepertimana ditetapkan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP), lif dan ekskelator perlu diperiksa setiap bulan, diikuti penyelenggaran dalam tempoh tiga bulan serta diperiksa oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) setiap 15 bulan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JKKP Perak, Mohd Hatta Zakaria berkata dua kes kerosakan lif membabitkan mangsa terperangkap dilaporkan berlaku sepanjang Januari hingga Julai tahun ini d inegeri itu. – BERNAMA