JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menyifatkan DAP ketandusan isu dan cuba mengelirukan masyarakat apabila mengaitkan anaknya Akmal Saufi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Barisan Nasional Johor turut menegaskan yang dikeluarkan portal rasmi DAP, Roketkini.com, tidak menjejaskannya.
“Apa-apapun nak cakap mesti bertanggungjawab dan berasas kepada fakta. Jadi, nampak sangat DAP ketandusan dan betul-betul hendak cuba mempengaruhi pandangan masyarakat dengan mengelirukan atau memutarbelitkan fakta atau mengatakan yang tidak benar atau berdusta,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu yang ditemui pada majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri Pihak Berkuasa Wailayah Pembangunan Iskandar diminta mengulas mengenai penyiaran artikel tersebut.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata beliau percaya isu tersebut merupakan satu proses pembelajaran bagi anaknya.
Semalam, dilaporkan Roketkini.com diberi tempoh 48 jam untuk memohon maaf dan menarik balik laporan yang mengaitkan Akmal Saufi dengan PPBM.
Peguam Rashid Zulkifli yang mewakili Akmal Saufi, berkata surat tuntutan maaf itu sudah dihantar ke ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur semalam.
Beliau turut berkata anak guamnya menafikan laporan Roketkini itu dan menyifatkan artikel disiarkan dengan niat untuk memfitnah. – BERNAMA