PARIS – Insiden Sebastian Vettel melanggar seteru dari Mercedes, Lewis Hamilton ketika Grand Prix Azerbaijan ternyata disengajakan, tetapi tiada hukuman lanjutan akan dikenakan.
Badan induk Formula Satu, FIA, berkata pemandu jentera Ferrari tersebut berada di belakang Mercedes Hamilton pada pusingan ke-19 dalam perlumbaan di Baku, bulan lalu.
FIA bermesyuarat dengan Vettel dan prinsipal pasukan Ferrari, Maurizio Arrivabene di ibu pejabatnya di sini semalam.
Dengan juara dunia empat kali dari Jerman itu mengaku bertanggungjawab di atas insiden berkenaan dan memohon maaf, FIA memutuskan tiada hukuman lanjutan akan dikenakan ke atas Vettel.
“Sukan peringkat tinggi adalah satu situasi yang boleh menjadi tegang dan mampu mencetus kemarahan.
“Bagaimanapun menjadi tugas ahli sukan untuk menanganinya dengan tenang,” kata presiden FIA Jean Todt.
Vettel hanya dikenakan penalti 10 saat dan tiga mata ke atas lesennya, menjadikannya sembilan keseluruhan.
Dia perlu mengelak daripada sebarang masalah di Austria atau berdepan risiko digantung satu perlumbaan kerana mengumpul 12 mata penalti dalam tempoh 12 bulan. – AFP/BH ONLINE