KUALA NERUS – Sebanyak enam insentif diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada peneroka termasuk insentif khas berjumlah RM5,000 bersempena sambutan Hari Peneroka Felda 2017 semalam membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan Felda.
Menurut Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Puad Zarkashi berkata ia sekaligus menafikan segala tohmahan pembangkang yang mendakwa kerajaan tidak akan membela nasib golongan peneroka dan Felda akan muflis.
“Ini turut membuktikan perdana menteri melihat golongan peneroka Felda adalah satu keutamaan dan dekat di hatinya memandangkan ia adalah perjuangan bersama antara beliau dan bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (perdana menteri kedua) yang memperjuangkan penubuhan Felda.
“Perdana menteri sangat komited untuk membantu para peneroka dan golongan generasi kedua terus mendapat manfaat daripada pelbagai program yang kerajaan laksanakan untuk mereka sehingga apa yang dilakukan kerajaan ini mendapat perhatian daripada negara lain,” katanya.
Puad yang juga ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Mesra Aidilfitri JASA di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.
Najib semalam mengumumkan enam insentif kepada golongan peneroka antaranya dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.
Dalam pada itu, Puad berkata JASA kini sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-14 pada bila-bila masa terutama dalam isu komunikasi strategik dalam menghadapi ‘serangan’ pihak pembangkang terhadap kerajaan.
“Kita akan memberi keutamaan dalam memastikan kandungan dan penyebaran sesuatu maklumat menerusi pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp dan Telegram adalah benar bagi memastikan kita dapat menangkis serangan dan fitnah yang dilemparkan kepada kerajaan oleh pembangkang.
“Ini akan dilakukan oleh petugas-petugas JASA di peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen (pada isu-isu) yang jadi tumpuan menerusi akaun (media sosial) milik mereka atau akaun-akaun lain agar maklumat yang tepat dapat disebarkan terus kepada akar umbi,” katanya. – BERNAMA