KUALA NERUS – Felda Wilayah Terengganu telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM14 juta yang disalurkan kepada 5,000 peneroka di 21 buah rancangan Felda negeri ini sempena Aidilfitri.
Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu Mohd Saidiee Salleh berkata setiap keluarga menerima RM780 merangkumi insentif persiapan hari raya sebanyak RM500 dan dividen Felda Global Ventures Holdings Berhad sebanyak RM280.
“Tahun lepas kita hanya bagi insentif sebanyak RM500 sahaja kepada setiap peneroka, tetapi tahun ini ada penambahan sebanyak RM280. Kita harap insentif yang diagihkan itu telah dapat membantu peneroka membuat persiapan hari raya dan juga persiapan menunaikan haji bagi yang terpilih,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Hari Raya dan Rumah Terbuka Felda Wilayah Terengganu serta meraikan 108 peneroka Felda yang akan menunaikan Fardu Haji mulai 24 Julai ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri Ghazali Taib.
Ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa kawasan Felda menjadi sarang penagih dan pengedar dadah, Mohd Saidiee berkata masalah itu tidak begitu kritikal di sini dan masih terkawal.
“Kita telah mengambil langkah-langkah pencegahan dengan mengadakan perbincangan dengan pengurus-pengurus rancangan, ketua-ketua peneroka dan peneroka sendiri serta mendapatkan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha pencegah gejala itu daripada berleluasa.
“Ini termasuk meminta bantuan AADK untuk membuat pemeriksaan mengejut dan pemeriksaan air kencing secara rambang termasuk kepada kakitangan Felda sendiri dalam usaha membanteras gejala itu daripada berleluasa di rancangan Felda,” katanya.
Mohd Saidiee berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan jenayah pengedaran dan penagihan dadah selaras usaha kerajaan negeri dalam menjadikan Felda sifar kegiatan penyalahgunaan dadah.
– BERNAMA