MANILA – Kongres Filipina akan mengadakan sesi khas hari ini, bagi mengundi sama ada melanjutkan tempoh pemerintahan tentera di Marawi atau sebaliknya, dalam usaha menangani serangan bersenjata militan Islam di wilayah itu.
Bagaimanapun, Presiden Rodrigo Duterte yakin hasratnya menyambung pemerintahan tentera di wilayah bergolak itu hingga akhir tahun ini, akan mendapat sokongan anggota kongres negara itu.
Pihak tentera berkata, ketika ini ada kira-kira 60 kumpulan dipengaruhi perjuangan militan Daesh berada di Marawi yang mempunyai keluasan 49 hektar.
Duterte menegaskan pemerintahan tentera perlu diteruskan bagi membolehkan usaha pembinaan semula bandar itu, selain memastikan pertempuran tidak merebak.
Pada 23 Mac lalu, Duterte menguatkuasakan pemerintahan tentera 60 hari di Mindanao, tempoh yang dibenarkan perlembagaan Filipina, beberapa jam selepas tentera bersenjata memulakan pemberontakan.
Isnin lalu, beliau memohon Kongres melanjutkan perintah itu hingga akhir tahun ini, selain meneruskan penggantungan perlindungan perlembagaan terhadap penangkapan tanpa waran. – AFP/BH ONLINE