KANGAR – Nampaknya pembangkang sudah kehabisan modal untuk hasut rakyat benci kerajaan dan terbaharu, ada tergamak buat fitnah berhubung satu insiden kematian lebih 16 tahun lalu.
Berang dengan tohmahan jahat itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, tampil membuat laporan polis berhubung kenyataan fitnah yang dimuat naik oleh individu bernama Jeffry Teoh.
Netizen tersebut menerusi catatan dalam akaun sosial Facebook mendakwa konon Ahli Parlimen Arau itu pernah membunuh anaknya berusia tiga tahun di sebuah kondominium di Jalan Putra, Kuala Lumpur pada 2001 lalu.
Shahidan berkata, catatan di ruangan komen Facebook merujuk artikel bertajuk ‘Walau hubungan baik, Shahidan tetap lawan Dr M’ disiarkan sebuah portal berita adalah berniat jahat dan cuba jatuh kredibiliti sebagai pemimpin.
“Saya tidak kisah jika ada individu tertentu atau musuh politik memang mahu menyerang saya,.. tetapi jangan membabitkan cerita peribadi ahli keluarga saya terutama sekali yang sudah lama meninggal dunia.
“Tergamakkah saya mahu bunuh anak saya sendiri? Jika benar sudah lama saya ditangkap polis, semua orang tahu ketika kejadian itu, saya berada di Perlis sedang hadiri mesyuarat Majlis Penerangan Kebangsaan,” katanya.
Bekas menteri besar Perlis yang keenam dan ADUN kawasan Tambun Tulang di negeri terkecil itu menegaskan demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai membuat laporan di Balai Polis Kangar .
Catatan dibuat individu bernama Jeffry itu menyebut: ‘Beliau terpaksa kena sokong! Kalau tidak kes hempas anak dari apartmen tinggi mati tu dikorek, boleh dihukum mati ohhh,” dimuat naik pada pukul 7.03 petang, Khamis.
Ketika ditanya sama ada Shaidan pernah mengenali Jeffry, beliau menjelaskan tidak mengenali lelaki terbabit malahan tidak mengetahui apakah punca lelaki berkenaan tergamak biadab membuat tuduhan palsu berkenaan.
“Saya tidak pasti siapakah individu ini dan siapa pula di sebaliknya, namun saya percaya mana-mana parti politik termasuk pembangkang tidak akan setuju dengan kenyataan melampau seperti ini,” jelas beliau lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew ketika ditemui mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan dan siasatan dijalankan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
“Pihak polis turut menerima sebanyak 22 laporan berhubung kes ini masing-masing di mana 20 laporan dibuat di Perlis pada hari ini, manakala dua lagi laporan sama dibuat di Damansara semalam.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata Wari yang turut mengesahkan kenyataan yang dibuat Jeffrey itu juga sudah dipadam. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA