KUALA LUMPUR – Bidang pertanian patut dijadikan antara pilihan utama kerjaya golongan muda kerana ia terbukti mampu menyediakan pendapatan lumayan dan stabil, gesa Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan.
Beliau yang juga pengasas Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM) berkata, sektor pertanian menawarkan produk yang sentiasa relevan dan pasaran luas yang mana produknya digunakan setiap orang pada setiap hari.
“Inilah satu-satunya bidang yang mampu membawa keuntungan dan kekal relevan hingga ke manusia terakhir di dunia ini,” katanya semasa berucap di Seminar Transformasi Pertanian Agropreneur Muda India, di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia mempunyai platform terbaik bagi kegiatan pertanian, melihat dari segi kedudukannya yang selamat daripada bencana besar dan penawaran pelbagai bantuan oleh kerajaan.
“Ini satu-satunya negara terbaik, tiada gempa bumi, banjir pun hanya di sesetengah kawasan…negara terbaik tanam apa pun tumbuh.
“Inilah negara yang mana anda tidak perlu merungut. Ini satu-satunya negara sekiranya berusaha, anda akan berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Saravanan turut melahirkan kerisauan terhadap lambakan warga asing yang mengisi sektor pertanian dan penternakan berikutan kurangnya golongan muda tempatan yang sanggup bekerja di sektor itu.
Menurutnya, NAAM dalam langkah menyediakan golongan agropreneur muda, menawarkan kursus dan pusat latihan agropreneur khusus melatih golongan muda India di dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan.
“Sebelum hujung tahun ini kita sasar untuk melatih 2,000 golongan muda,” katanya. – BERNAMA