PENYAMPAI radio berpengalaman, Halim Othman mengakui dia tidak mampu menyembunyikan kesedihannya untuk berpisah dengan dua rakannya yang bersama-sama mengendalikan segmen pagi Suria FM sebelum ini.
Walaupun sedih terpaksa berpisah dengan Zulin Aziz dan Fizi Ali, namun Halim turut berkata dia gembira untuk memberi laluan kepada Shahrol Shiro yang dipilih menggantikan tempatnya.
“Zulin semua orang tahu sangat berbakat. Fizi pula mempunyai semangat untuk belajar dan memberikan banyak kerjasama.Saya sayang dua orang itu. Ada kesedihan untuk berpisah dengan mereka.
“Bila kita bangun pagi setiap hari berjumpa dengan orang yang sama, pasti merasakan ada ikatan.
“Menghabiskan masa bersama mereka lima jam sehari, merekalah orang paling dekat dengan saya.
“Perasaan bercampur-campur. Saya sukakan Shahrol tetapi selepas setahun rapat dengan Zulin, ada rasa sedih untuk berpisah.
“Tetapi untuk memberi laluan kepada Shahrol tiada masalah. Meninggalkan dua budak itu sedikit sedih dan juga pendengar yang sudah bersama dengan saya.
“Pendengar menghantar mesej kepada saya jangan pergi tetapi mereka perlu menerimanya,” katanya, memetik laporan ProjekMMO.
Shahrol yang menggantikan tempat Halim akan bergandingan bersama Zulin dan Fizi di Suria FM dari jam 5 pagi hingga 10 pagi setiap Isnin hingga Jumaat.
Halim sebelum ini pernah menjadi penyampai radio di Era FM dan Sinar FM.
Selain itu, beliau juga pernah mengacarakan game show Roda Impian yang cukup popular satu masa dahulu. – MYNEWSHUB.CC