WALAPUN baru-baru ini dikritik peminat berikutan kegagalan mencapai nada tinggi ketika persembahan langsung, namun bukan suatu halangan baginya untuk terus menebar sayap dalam dunia nyanyian.
Baca : Haqiem ‘Amuk’ Dikritik Tak Boleh Nyanyi Nada Tinggi?
Penyanyi Haqiem Rusli optimis dengan perancangan untuk mengadakan konsert solo pertamanya di Kuching, Sarawak. Konsert sulung itu dijangka bakal berlangsung bulan November depan.
Haqiem, 19, berkata sudah bersedia untuk berhadapan dengan mana-mana pihak yang mempertikai kemampuannya untuk mengadakan konsert tersebut memandangkan penyanyi ini masih baru dalam dunia nyanyian.
“Bagi saya, kalau tak cuba kita tak akan tahu bagaimana maklum balas daripada peminat. Jadi, sebagai pendatang baru saya beranikan diri untuk mengambil risiko. Tak salah saya mencuba nasib, katanya yang popular dengan lagu Segalanya,” ujar Haqiem, lapor Harian Metro.
Tambahnya lagi, konsert tersebut bukanlah berskala besar. Dia yakin konsert tersebut bakal berjaya berikutan buat masa sekarang mendapat pelbagai reaksi positif daripada peminatnya di Kuching.
Idea untuk mengadakan konsert tersebut timbul ketika dia tampil di Gaya Raya Era anjuran Era FM Sarawak, sekitar dua minggu lalu.
Sekiranya konsert tersebut mendapat sambutan yang baik, Haqiem akan meneruskannya pula di Kuala Lumpur.
Selain mengadakan konsert, penyanyi ini turut merancang untuk menghasil album mini yang memuatkan lima buah lagu.
Ridzuan Haqiem Rusli atau lebih dikenali sebagai Haqiem Rusli merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik.
Dia merupakan komposer untuk lagu Pesan nyanyian Irfan Haris yang juga semakin hari mendapat tempat dihati peminat. – MYNEWSHUB.CC/ Amy Maizura