PUTRAJAYA – Harga runcit siling bahan bakar ditetapkan secara mingguan mulai 30 Mac lalu, dan bagi tempoh seminggu berikutnya menyaksikan semua jenis minyak naik untuk julung kalinya.
Ia memang dijangka ekoran tindakan beberapa negara pengeluar minyak utama dunia bertindak mengurangkan stok bekalan di pasaran antarabangsa sekali gus menyaksikan trend permintaan kini mula melebihi penawaran.
Menurut laporan Berita N5 yang disiarkan oleh stesen TV1 RTM pada jam 5 petang Rabu, harga siling terbaharu produk minyak RON 95 naik sebanyak RM2.03 seliter, bertambah enam sen berbanding RM1.97 seliter sebelumnya.
Manakala had harga runcit untuk petrol premium jenis RON 97 dalam tempoh seminggu akan datang pula telah ditetapkan kepada RM2.28 seliter, juga naik enam sen daripada RM2.22 seliter pada seminggu sebelumnya.
Dalam pada itu, harga runcit baharu untuk minyak diesel dalam tempoh tujuh hari yang sama juga diumumkan menokok hanya tiga sen kepada RM1.99 seliter, berbanding RM1.96 seliter ketika tempoh minggu sebelumnya.
Stesen penyiaran awam kebangsaan berkenaan melaporkan bahawa kesemua harga siling baharu untuk produk petroleum tersebut bermula dari pukul 12.01 tengah malam 27 Julai sehingga 11.59 malam pada 2 Ogos depan.
Mulai 29 Mac lalu, Kabinet memutuskan penetapan harga runcit bahan api secara mingguan bagi membolehkan pengguna dapat menikmati trend kadar lebih stabil berbanding harga bulanan yang dilaksanakan sebelum ini.
Pihak kerajaan sebelum itu melaksanakan penetapan harga siling bulanan secara kaedah pengapungan terkawal dengan mengguna pakai sistem kiraan formula Mekanisme Harga Automatik yang ditetapkan sejak 1983 lagi.
Penetapan harga runcit minyak secara bulanan itu sudah lama dilaksanakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang telah pun bermula pada awal Disember 2014 lalu.
Namun, pengumuman rasmi secara mingguan dijangka dapat mengurangkan kegelisahan pengguna kerana corak perubahan harga tidak begitu ketara berikutan tempoh pengiraan yang agak pendek. – Mynewshub.cc/HAA