KUALA LUMPUR- Syarikat nutrisi global terkenal, Herbalife mengumumkan penajaan bagi tempoh setahun untuk empat atlet kebangsaan iaitu Irene Chong, Rikigoro Shinozuka, Edan Syah dan Adiq Husainie.
Melalui penajaan ini, para atlet yang terpilih bakal menerima tajaan berbentuk wang tunai serta produk kesihatan nutrisi dan prestasi sukan.
Tajaan yang diberikan kepada atlet kebangsaan ini juga merupakan sebahagian daripada program tajaan di bawah Herbalife Nutrition yang menunjukkan komitmen Herbalife ke arah kehidupan yang lebih sihat dan aktif menerusi kebaikan nutrisi.
Sebelum ini, Herbalife telah menaja atlet kebangsaan, pemain skuasy, Low Wee Wern yang bertanding di Sukan Olimpik Khas 2017 yang berlangsung di Austria pada Mac lalu.
Pengurus Kanan Herbalife Nutrition Malaysia, Steve Chin berkata, mereka berasa sangat berbesar hati dan bangga kerana dapat menaja atlet kebangsaan yang merupakan sumper inspirasi rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan cerdas.
“Tambahan pula, kami berbesar hati kerana dapat membekalkan nutrisi yang secukupnya untuk para atlet yang hebat ini. Yang mana juga turut bersesuaian dengan bidang sukan dan rutin latihan mereka yang berlainan”, ulas Steve lagi.
Barisan atlet hebat ini yang masing masing menjadi wakil sukan yang berbeza juga ketika ditemui tadi berasa bersemangat untuk menjalankan sesi latihan mereka.
Bagi atlet triathlon, Irene Chong dan Rikigoro Shinozuka, masing-masing akan mewakili Malaysia di Temasya Sukan SEA 2017 yang bakal berlangsung pada 19 Ogos ini.
Edan Syah, iaitu pemegang rekod pelari marathon terpantas pada taahun 2016, baru-baru ini telah dinobatkan gelaran ‘Fastest Southeast Asian Marathoner’ dan juga gelaran ‘Fastest Malaysian’ ketika di Gold Coast Airport Marathon tahun lalu.
Manakala bagi pelumba basikal negara, Adiq Husainie pula, beliau telah melayakkan diri berada dalam senarai ‘Top 20’ di pertandingan Tour De Lombok Stage 4. Beliau kini sedang bekerja keras bagi Temasya Sukan SEA 2017.
Selaku Pengarah Kanan dan Pengurus Besar Sub-Serantau, Herbalife Nutrition Malaysia & Singapura, Sridhar Rajagopalan berharap dengan penajaan yang diberikan, para atlet akan lebih bersemangat dan mencapai kejayaan di temasya sukan tersebut nanti.
“Bagi atlet-atlet kebangsaan yang bernaung di bawah tajaan kami, semoga anda berjaya kerana kami tahu mereka ini telah bekerja keras untuk mencapai matlamat mereka.
“Mereka adalah pencetus inspirasi bagi rakyat Malaysia dalam membudayakan gaya hidup sihat yang sihat dan aktif, disokong pula dengan kebaikan dan keseimbangan nutrisi”, ulasnya lagi
Dengan terlaksananya majlis memorandum persefahaman di antara para atlet dan pihak Herbalife tengahari tadi, secara rasminya penajaan selama setahun ini telah dijalankan secara rasmi. – MYNEWSHUB.CC / Ainaa Hafizah