PENYANYI Hunny Madu memberitahu dia sudah mempunyai rancangan untuk melebarkan bakat nyanyiannya sehingga ke peringkat antarabangsa.
Hunny berkata demi menjayakan impiannya untuk menjadi penyanyi antarabangsa, dia sanggup berulang-alik ke luar negara bagi mencipta nama.
“Saya ada merancang untuk melebarkan lagi karier ke luar negara. Tambahan pula saya ada lagu duet dengan penyanyi rap Amerika Syarikat, Radio 3000.
“Ini merupakan peluang yang tidak boleh saya lepaskan. Mungkin selepas ini saya boleh menetap di negara itu.
“Tetapi, tengok juga pada keadaan kalau boleh mencari rezeki untuk keluarga di sana. Bila fikir, sayang pula nak tinggalkan Malaysia.
“Sekarang saya hanya berulang-alik sahaja unutk tujuan mempromosikan lagu tersebut,” katanya kepada mStar Online.
Tambahnya, mencari rezeki dalam industri muzik bukanlah perkara yang mudah kerana ramai yang beranggapan menjadi selebriti mampu menjalani kehidupan yang mewah tanpa perlu bersusah-payah.
“Masyarakat luar selalu fikir jadi artis boleh hidup mewah dengan senang. Tapi sebenarnya kami juga sama seperti orang lain.
“Bangun awal pagi dan pulang lewat malam unutk mencari rezeki. Mungkin mereka tidak nampak macam mana artis juga susah mencari rezeki,” katanya. –MYNEWSHUB.CC