KUALA NERANG – Seorang ibu tunggal bukan sahaja kehilangan harta benda akibat kebakaran pada September tahun lalu, malah dibebani hutang apabila gagal membayar sewa rumah di Alor Setar.
Muniroh Abdullah, 62, dari Kampung Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) Bukit Ular, di sini amat mengharapkan permohonan rumah baharu dapat dilaksanakan segera seperti dijanjikan lembaga itu.
Ketika ditemui di sini hari ini, Muniroh berkata selepas kebakaran berlaku dia yang menetap bersama seorang anaknya, Marliana Md Noh, 32, dan dua anak Muniroh berusia empat dan enam tahun terpaksa berpindah ke Alor Setar untuk menyewa sebuah rumah.
Oleh kerana tidak mempunyai pekerjaan dan bergantung kepada Marliana sebagai pembantu kedai makan dengan upah tidak seberapa, mereka tidak mampu membayar sewa rumah sebanyak RM350 sebulan menyebabkan terpaksa berhutang sejak sebulan lalu.
“Saya sering sakit dan banyak bergantung kepada Marliana untuk menyara kehidupan kami, tapi sampai bila kami perlu membayar sewa yang menjadikan kami terbeban sehingga hari ini,” katanya.
Muniroh berkata, beliau kini masih ternanti-nanti jawapan dari pihak Keda kerana segala surat menyurat dan dokumen telah diserahkan sebelum ini.
Sementara itu, Pegawai Zon Padang Terap, Zaidi Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum perkara itu dan hanya menunggu peruntukan dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk membina rumah Muniroh. – BERNAMA