KUANTAN – Dalam usaha memberikan nilai tambah terhadap ikan yang bernilai rendah, Jabatan Perikanan Pahang mengambil inisiatif menyediakan Kursus Ikan Pekasam khususnya kepada golongan nelayan pantai di negeri ini.
Pengarah Perikanan Pahang, Datuk Adnan Hussain berkata langkah itu juga dilakukan bagi mengelakkan golongan nelayan ini menanggung kerugian dan pulang dengan tangan kosong setelah seharian memerah keringat di laut.
“Terdapat sesetengah nelayan pantai kadangkala hanya mendapat hasil tangkapan ikan yang mempunyai nilai yang rendah seperti ikan belanak, menyebabkan ada  antara mereka membuang semula ikan ini dan ada juga menjualnya sebagai ikan baja dengan pendapatan tidak seberapa.
“Tindakan itu telah menyebabkan mereka terpaksa menanggung rugi dengan kos menangkap ikan di laut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Kursus Penyelenggaraan Enjin Sangkut dan Ikan Perkasam Nelayan Pantai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani negeri Datuk Shafik Fauzan Sharif di sini, semalam.
Sehubungan itu, Adnan berkata kursus berkenaan diperkenalkan bagi membolehkan nelayan mendapat pulangan yang lebih berbanding hanya bergantung dengan hasil jualan ikan segar.
Beliau berkata, ini juga kerana ikan pekasam turut mempunyai permintaan yang tinggi terutama di sebelah utara Semenanjung.
Untuk peringkat awal katanya, seramai 40 nelayan pantai menyertai kursus selama dua hari itu dan ia akan diteruskan di daerah lain dalam usaha untuk mendedahkannya kepada lebih ramai nelayan pantai di negeri ini. – BERNAMA