KUALA LUMPUR – “Dah ketandusan idea sangatkah sampai mereka buat begini? Malunya kalau anak nampak,” keluh seorang ibu, Nurhayati Zainuddin, 39, tatkala melihat iklan ‘ubat kuat lelaki’ yang terpampang di bahu lebuh raya.
Sudahlah mempromosi produk golongan dewasa secara terang-terangan, malah iklan berkenaan mengguna perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya dipertonton kepada umum, lebih-lebih lagi si cilik.
Pendek kata, kebanyakan iklan seumpama itu seringkali menggunakan perkataan-perkataan dan pendekatan ‘dua makna’ atau ‘mesej tersembunyi’ untuk mempromosi dan melariskan produk.
Lazimnya, imej ataupun kata-kata yang mengiringi iklan-iklan itu juga kurang senonoh dan berbaur lucah. Nampaknya kebelakangan ini, terdapat pengiklan yang mengetepikan batas tradisi dalam mempersembahkan iklan, justeru iklan-iklan berunsur lucah terpampang di merata tempat terbuka.
Tidak lama dahulu, terdapat iklan produk kopi tradisional yang kononnya mampu meningkatkan kemampuan tenaga batin lelaki, menampilkan gambar katil yang patah kakinya, sekali gus mengundang pelbagai tanggapan. Selain itu, antara iklan yang mengundang tidak puas hati Nurhayati adalah yang menggunakan kata-kata “Subuh Baru Cabut”(kemampuan lelaki bersanggama hingga menjelang pagi) .
Satu lagi iklan adalah mengenai remedi tradisional untuk membesarkan payu dara yang menampilkan kata-kata “Suami Lemas Dalam Dakapan” dengan diiringi imej wanita dengan payu dara yang ‘kencang’ dengan gaya menggiurkan. Produk lain seumpamanya pula cuba memikat pembeli dengan kata-kata “Montok, Gebu, Ketat, Mantop”.
Kesemua imej dan kata-kata itu membawa maksud yang menjurus kepada maksud tersembunyi dan pastinya akan mencetuskan rasa ingin tahu mengenai maksud yang tersirat dalam kalangan individu, apatah lagi kanak-kanak.
IMPLIKASI IKLAN MELAMPAU
“Sebagai seorang ibu, saya malu dan tidak selesa apabila melihat iklan-iklan yang sememangnya tidak sesuai dipaparkan kepada umum. Seringkalinya iklan mengenai ubat kuat untuk lelaki dan pasangan berkahwin sangat ‘meloyakan’.
“Malah, iklan sepatutnya mampu mendidik orang ramai dan bukan memanipulasi pengguna untuk memilih produk mereka,” kata ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.
Beliau yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (Felda) Bandar Baru Serting di Jempol, Negeri Sembilan berkata, pengusaha dan pengiklan perlu mempunyai rasa tanggungjawab dalam memastikan kaedah pengiklanan mereka tidak melanggar norma-norma masyarakat.
PERKARA TERLARANG JADI MODAL PUBLISITI
“Contoh-contoh di atas hanyalah sebahagian kecil sahaja, itu belum lagi lambakan iklan-iklan yang terdapat dalam talian dan melalui pelbagai platform media sosial termasuk Facebook dan Instagram.
“Iklan-iklan tersebut tampil dalam bermacam-macam ragam dan gaya … cara mereka bercakap dan gaya berpakaian membuatkan kita terfikir, apakah sebenarnya yang ingin ditonjolkan?” katanya yang sangat kecewa dengan strategi pengiklanan yang mengambil jalan mudah untuk memancing pengguna dengan unsur-unsur lucah.
Sepertimana Nurhayati, ramai dalam kalangan masyarakat yang menyedari akan ketidaksesuaian iklan-iklan itu dan bimbang terhadap keberanian golongan pengiklan yang tidak mempedulikan sensitiviti dan larangan dalam usaha meningkatkan jualan produk mereka.
Mengulas kebimbangan mengenai perkara sama, Pensyarah Kanan yang juga Felo di ‘Advanced Communication Research Unit’ Pusat Pengajian Teknologi Multimedia & Komunikasi Universiti Utara Malaysia, Dr. Mohd Khairie Ahmad berkata, senario ‘perlumbaan’ dan persaingan sengit dunia perniagaan pada masa kini menuntut peniaga menjadi lebih kreatif dalam memasarkan produk mereka melalui pelbagai kaedah dan strategi.
“Setiap pengusaha mempunyai cara tersendiri untuk mempromosi produk masing-masing. Namun mereka tetap perlu bermoral dan beretika, seiring dengan nilai agama, kerohanian dan amalan yang didukung masyarakat.
“Justeru, dalam usaha mempromosi apa jua produk, perlulah bertunjangkan akal budi dan acuan budaya masyarakat kita. Iklan jelek dan berbaur lucah, contohnya, hanya menunjukkan sikap individualistik dan materialistik kerana sanggup meletakkan nilai wang ringgit mengatasi tatasusila dan moral masyarakat,” katanya.
PERLU ADA TAPISAN KENDIRI
Mohd Khairie juga berpendapat, walaupun strategi pemasaran menggunakan iklan yang dianggap tidak sesuai mungkin berkesan bagi pengiklan tetapi masyarakat terpaksa menanggung implikasi negatif daripada iklan itu.
Dalam jangka masa panjang, ia akan memberi kesan negatif kepada negara kerana dibimbangi membawa kepada masalah sosial akibat dimomokkan dengan budaya yang sedemikian.
Beliau juga menegaskan, tidak seperti iklan di media cetak, adalah tidak mudah untuk memantau iklan dalam media sosial. Lompong-lompong yang terdapat dalam penguatkuasaan peraturan-peraturan atau garis panduan iklan di media sosial menjadikan ia sukar dibendung lantas menyumbang kesan negatif terhadap masyarakat.
“Justeru sebagai langkah asas, setiap pengusaha dan pengiklan perlu mempunyai ‘tapisan kendiri’ dan mempunyai rasa tanggungjawab dalam menghasilkan iklan yang tidak melanggar prinsip budaya, etika dan nilai masyarakat negara ini. Malah, Advertising Standards Advisory Malaysia sedang berusaha untuk memastikan sistem pengawalseliaan sendiri berfungsi demi kepentingan awam.
“Pengguna juga boleh membantu dengan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap iklan yang dianggap tidak wajar dan membuat aduan dengan pihak berkuasa, memboikot produk dan menghentikan iklan daripada menjadi tular dalam media sosia,” katanya. – BERNAMA