KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berharap majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh 13 jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia di Sabah tidak sekadar menjadi lafaz kosong semata-mata.
Sebaliknya, Pengarah SPRM Negeri, Datuk Sazali Salbi berkata apa yang paling penting lafaz ikrar itu dilaksanakan dalam bentuk perbuatan oleh pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan.
Tindakan untuk menandatangani IBR ini jelas menunjukkan kesungguhan dan komitmen jabatan dan agensi berkenaan untuk sama-sama membantu membanteras gelaja rasuah, katanya ketika menyampaikan taklimat semasa majlis IBR itu di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu di sini, hari ini.
Antara jabatan yang terlibat adalah Jabatan Tenaga Kerja, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Jabatan Perhubungan Perusahaan, Pembangunan Sumber Manusia, dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran Berhad Sabah.
Turut hadir menyaksikan IBR itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Adenan Ab. Rahman dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Nor Rizan Mohd Thani.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Adenan berkata tindakan kementerian dan warga kerjanya menandatangani IBR jelas memperlihatkan keikhlasan, komitmen kerja dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana kerja bebas rasuah.
“Sokongan dan komitmen padu ini secara tidak langsung menjadi pembakar semangat kepada warga kerja jabatan dan agensi berkenaan untuk terus berjuang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam memerangi jenayah rasuah serta salah guna kuasa secara habis-habisan,” katanya. – BERNAMA