KUALA NERANG – Imigresen Kedah menahan 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh dan Myanmar dalam serbuan ‘Ops Mega’ di dua lokasi berasingan di sekitar Kuala Nerang, semalam.
Pengarahnya, Zuhair Jamaludin berkata dalam operasi dari pukul 3.15 petang hingga 5.30 petang itu, 22 lelaki Bangladesh dan lima lelaki Myanmar berusia antara 21 hingga 53 tahun telah ditahan.
“Operasi yang disertai 15 pegawai Imigresen dan 40 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) itu menjalankan pemeriksaan ke atas 36 PATI pelbagai warganegara di tapak pembinaan rumah dan kilang memproses kayu di sekitar Kuala Nerang.
“Ketika serbuan, warga asing yang sedang bekerja itu lari ke dalam hutan bagi mengelak daripada ditahan penguat kuasa, namun mereka berjaya diberkas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya kesemua PATI ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Zuhair berkata semua yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen Bangunan Kementerian Dalam Negeri Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserahkan ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA