BOGOTA – Mungkin pengguna pengangkutan awam biasa letih berdiri sesak dalam bas atau kereta api yang penuh dengan penumpang ketika waktu puncak, namun bagaimana jika ia kapal terbang?
Terbaharu, sebuah syarikat penerbangan bajet Colombia, VivaColombia mempertimbangkan untuk menghapuskan semua tempat duduk dari pesawatnya sekali gus menjadikan semua penumpang perlu berdiri sepanjang perjalanan.
Langkah inovasi itu diharap dapat menurunkan kos tambang selain membenarkan lebih banyak penumpang dalam setiap penerbangan, serta membuka perjalanan udara untuk dinikmati kelas pekerja miskin dan pelancong bajet.
Minggu lalu, syarikat ditubuhkan sejak 2009 tersebut mengumumkan penambahan 50 buah pesawat baharu Airbus 320 untuk memanfaatkan pasaran pelancongan negara Amerika Latin itu yang sedang berkembang pesat.
Pesawat terkini itu memiliki lebih banyak ruang tempat duduk dan kos operasi lebih rendah serta bakal diterima menjelang 2018. VivaColombia ketika ini hanya ada 11 buah Airbus 320 yang mampu memuatkan 180 penumpang.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif VivaColombia, William Shaw memberitahu akhbar Miami Herald bahawa syarikat penerbangan tambang rendah itu sedang berusaha untuk mencari pilihan perjalanan secara menegak.
Beliau berkata: “Ada ramai orang di luar sana sekarang meneliti sama ada anda boleh ‘terbang’ sambil berdiri – kami sangat berminat dengan apa sahaja opsyen yang membuatkan sesuatu kos perjalanan udara menjadi lebih murah.”
Shaw menambah: “Siapa peduli jika pesawat tidak mempunyai sistem hiburan untuk penerbangan satu jam? Siapa yang peduli bahawa tidak ada lantai marmar… atau anda tidak dilayan mendapat snek kacang secara percuma?”
Konsep aneh tersebut juga bukan baharu malah banyak syarikat penerbangan di seluruh dunia telah berbincang dengan idea pewujudan seksyen penumpang berdiri sepanjang penerbangan selama bertahun-tahun sebelumnya.
Bahkan pada 2003 lalu, pengeluar pesawat Airbus muncul dengan idea untuk membolehkan setiap penumpang hanya disandarkan kepada ‘tempat duduk’ secara menegak dalam usaha pertambahan kapasiti ruang optimum.
Ryanair, syarikat penerbangan bajet terbesar Eropah dan berpusat di Ireland yang memiliki kepentingan dalam VivaColombia juga pernah mencadangkan kawasan berdiri diwujudkan dalam armada pesawatnya pada 2010 lalu.
Ketika itu, bos Ryanair, Michael O’Leary menggambarkan konsep tempat duduk cuma “bangku bar dengan tali pinggang keledar keselamatan” tetapi meluahkan keraguan keperluan tali keledar yang jarang dipakai penumpang.
“Sebuah pesawat adalah hanya sebuah bas dengan sayap. Sekiranya ada kemalangan di atas pesawat, tali keledar itu tidak akan menyelamatkan awak. Anda sebenarnya tidak perlu tali keledar di dalam tren London Underground.
“Bahkan anda tidak memerlukan tali keledar pun dalam kereta api berkelajuan tinggi yang bergerak pada 120 batu sejam,” kata O’Leary. Idea pelik itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh pihak berkuasa penerbangan awam.
Setakat ini konsep tempat duduk menegak tidak pernah diluluskan oleh pengawal selia penerbangan komersial di mana-mana negara waima negara maju sendiri. Idea ini juga mungkin gagal untuk dilaksanakan di Colombia.
Pengarah agensi penerbangan awamnya, Alfredo Bocanegra memberitahu radio tempatan RCN bahawa mereka tidak bersetuju meskipun untuk penerbangan jarak dekat yang biasanya tidak mengambil jadual masa panjang.
“Orang harus melakukan perjalanan seperti gaya hidup manusia normal. Sesiapa yang menaiki pengangkutan awam tahu bahawa konsep itu bukan yang terbaik apabila anda berdiri,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA