RATA-RATA kaum isteri pasti tidak senang duduk apabila suami selalu dekat dengan seseorang yang lebih cantik dan muda daripadanya, namun berbeza pula dengan isteri pelakon Alif Satar.
Ini kerana kata Alif, isterinya Shadila Halid, tidak cemburu dia bakal bergandingan dengan bintang sensasi, Neelofa dalam drama terbaru berjudul Red Velvet.
Kata penyanyi, pelakon dan pengacara itu, isterinya bukan sekadar memberikan sokongan penuh terhadap kerjaya seninya, malah seorang yang sangat memahami dan cukup teruja dengan gandingan berkenaan.
Drama yang bakal diarahkan oleh Michael Ang itu dijadualkan menjalani penggambaran pada Ogos depan.
“Saya sendiri seorang yang bersikap profesional dalam kerjaya dan isteri sedia maklum mengenai perkara itu. Dia juga tak pernah cemburu kerana sememangnya isteri tahu skop kerja yang perlu saya lakukan.
“Isteri saya sendiri tidak sabar untuk melihat saya bergandingan dengan Neelofa menerusi drama ini. Malah selama ini pun dia juga yang sering memberi cadangan dan idea kepada saya, dengan siapa saya patut bergandingan ketika berlakon,” katanya, memetik BH Online.
Alif, yang sebelum ini popular dengan drama Dia Semanis Honey, berkata pertama kali bergandingan dengan pelakon wanita berkenaan, dia mahu memberikan usaha yang lebih agar persembahannya kali ini mantap.
Bapa kepada dua cahaya mata itu juga tidak berasa bimbang walaupun mengetahui fenomena pernah dicipta Neelofa ketika bergandingan dengan Fattah Amin dalam Suri Hati Mr Pilot, sebelum ini.
“Saya akan cuba menjalankan tanggungjawab yang diserahkan, termasuk mewarnakan karakter yang perlu dilakonkan dengan penuh semangat.
“Saya juga tidak gusar dengan hal yang pernah dilalui Neelofa sebelum ini, atau drama yang pernah dibintanginya. Saya dan Fattah orang yang berbeza. Saya janji akan buat sehabis baik.
“Soal sama ada drama ini akan mencipta fenomena atau tidak, ia bukan terletak di tangan saya. Kalau saya sudah melakukan sebaiknya, namun rezeki bukan menjadi milik drama berkenaan, apa lagi yang perlu dibuat?” katanya.
Nampaknya gandingan kali ini juga bakal meletup juga kerana para peminat Neelofa dan Alif telah pun memberi jolokan kepada meraka berdua iaitu #Alofa! – MYNEWSHUB.CC