KUALA LUMPUR – Ahli Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB) Datuk Dr Awang Adek Hussin menggesa golongan muda agar berfikir dengan teliti sebelum melabur dan tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa.
Sebaliknya, beliau berkata mereka hendaklah mengambil peluang pelaburan yang dijamin oleh kerajaan dan menjanjikan keuntungan konsisten setiap tahun.
PNB misalnya menawarkan pelbagai skim pelaburan yang memberikan keuntungan dan dividen konsisten dan menguntungkan pelabur, katanya semasa menyampaikan taklimat “Celik Kewangan dan Melahirkan Modal Insan Berkualiti dan Berintegriti Bagi Mencapai TN50” pada Bengkel Persediaan dan Simulasi Perbahasan Parlimen Mahasiswa di sini malam ini.
“Sekarang ini ramai benar yang mudah terpedaya. Kalau ada skim pelaburan yang janjikan keuntungan 20 peratus, 30 peratus, 50 peratus, fikir dulu munasabah ke tidak? Mustahil ada pelaburan begitu. Gali emas pun tak boleh dapat untung sampai 50 peratus,” katanya.
Awang Adek turut mengingatkan golongan muda agar tidak terjebak dalam beban hutang keterlaluan sehingga menyebabkan nama mereka disenarai hitam.
“Jika kita lihat rekod, ramai yang kena senarai hitam CRISS ini daripada golongan muda. Hutang kad kredit terutamanya. Cuba rancang kewangan, elak terjebak dengan hutang-hutang begini,” katanya.
Persidangan Parlimen Mahasiswa tahun ini merupakan kali ketiga diadakan dengan 210 orang mahasiswa daripada 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta menyertainya. – BERNAMA