KUALA LUMPUR – “Jauhilah ejen perubahan yang palsu yang menentang Allah dan Rasul-Nya, juga yang bersama atau bekerja sama dengan mereka yang menentang Allah dan Rasul-Nya”
Demikian pesanan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz kepada umat Islam negara ini jika mahu Malaysia selamat daripada anasir-anasir yang cuba merosakkan agama Allah S.W.T
Kata beliau, sebaik-baik ejen perubahan dalam sesebuah negara adalah mereka yang beriman kepada Allah S.W.T serta hari akhirat bagi memastikan negara itu menikmati kesejahteraan yang benar dan hakiki.
“Seburuk-buruk agen perubahan adalah orang-orang yang zalim juga. Negara itu akan merasai azab dan keperitan yang bersambung-sambung.
“Negara itu semakin menuju lembah kehancuran yang lebih dahsyat,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Meskipun kenyataan itu tidak merujuk kepada mana-mana pihak, ramai percaya ia berkenaan gabungan pembangkang Pakatan Harapan yang diketuai parti sekular DAP.
Pakatan Harapan kini diangggotai oleh parti liberal Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
PPBM merupakan sebuah parti yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
DAP sebelum ini berulang-kali menegaskan bahawa Malaysia bukan sebuah negara Islam dan sebarang usaha untuk menggangkat Malaysia sebagai negara Islam melanggar Perlembagaan Negara ini.
DAP dan PKR turut membantah cadangan memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah di Malaysia di Parlimen menerusi Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU355). – MYNEWSHUB.CC