KUALA LUMPUR – Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) antara pasukan beraksi cemerlang apabila mencatat kemenangan setelah menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan sulung Piala Malaysia, malam ini.
JDT memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, apabila menjinakkan Sarawak 4-0 hasil jaringan pemain pertahanan dari Brazil, Marcos Antonio pada minit ke-11, sebelum penyerang berbisa dari Argentina Gabriel Guerra menyumbat dua gol pada minit ke-26 dan 73 serta jaringan Natxo Insa pada minit ke-84 bagi melengkapkan kemenangan bergaya skuad Harimau Selatan.
Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah menewaskan Melaka United 2-0 menerusi jaringan penyerang import dari Brazil, Sandro da Silva (minit ke-29) dan ‘ayam tambatan’ skuad Helang Merah, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-63.
T-Team pula gagal mengambil kesempatan beraksi di tempat sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, apabila dikejutkan 1-2 oleh pasukan Liga Perdana, PKNP hasil jaringan Muhammad Shahrel Fikri pada minit ke-22 dan 51, manakala gol ‘The Titan’ dijaringkan Mohamadou Samassa (minit ke-50).
Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menumpaskan UiTM FC 3-1 dengan Khairul Izuan Rosli menjadi wira The Red Warriors apabila menyumbat dua gol pada minit ke-41 dan 62, sebelum Abou Bakr Al Mel menambah jaringan pada lewat permainan.
Gol sagu hati UiTM FC dijaringkan penyerang dari Nigeria, Akanni-Sunday Wasiu pada minit ke-51.
Pada aksi di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah Perak menewaskan PKNS 2-0 hasil jaringan pemain import dari Brazil, Thiago Junior pada minit ke-71 dan Gilmar da Silva (minit ke-79) untuk memastikan tiga mata berharga menjadi milik The Bos Gaurus.
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang seri 2-2 berdepan Negeri Sembilan yang menyaksikan kedua-dua pasukan sekadar berkongsi satu mata.
Gol Pahang dijaringkan penyerang prolifik dari Brazil, Matheus Alves Leandro pada minit ke-58 dan 63 manakala jaringan Negeri Sembilan disempurnakan Desire William Behe (minit ke-43) dan Lee Andrew Tuck (minit ke-76).
Pada aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Felda United gagal mengutip tiga mata penuh apabila seri 0-0 menetang pasukan Liga Perdana, Kuala Lumpur.
Selangor turut mencatat keputusan seri setelah terikat 1-1 berdepan Terengganu pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. Gol The Red Giant dijaringkan Rufino Segovia pada minit ke-43 manakala gol pasukan pelawat menerusi Issey Nakajima (minit ke-64). – BERNAMA